Dua ahli pengurusan Selangor FC akan dipanggil polis

Dua pengurusan Selangor FC yang sebelum ini didakwa mungkin menjadi sasaran seterusnya selepas Faisal Halim disimbah asid akan diambil keterangan.

Kedua-dua individu terbabit sudah dihubungi, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.

“Semalam, kita sudah hubungi dan akan ambil keterangan kedua-dua mereka,” katanya, dipetik BH, selepas melakukan tinjauan di kawasan kejadian hari ini.

Pada 5 Mei lalu, Faisal disimbah asid ketika berada di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang.

Akibatnya, Faisal yang mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat mengalami kecederaan melecur tahap empat pada badan dan mukanya selepas disimbah asid sulfurik.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon dilapor bakal menjadi sasaran seterusnya simbahan asid.

Dr Johan Kamal Hamidon

Seorang pegawai Selangor FC memaklumkan perkara itu kepada Johan ketika melawat tonggak skuad Gergasi Merah, Faisal di sebuah hospital swasta, 5 Mei lalu.

Dilaporkan, pegawai itu mendapat panggilan daripada individu tidak dikenali yang mengatakan Johan mangsa seterusnya.

BACA JUGA Sah! Piala Sumbangsih dibatalkan, JDT dapat tiga mata