‘Kura-kura dalam perahu, Pas jangan pura-pura tak tahu…’

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memulangkan paku buah keras kepada pihak lawan dan penyokongnya yang menggabungkan nama partinya dengan DAP.

Kata Ahmad Maslan, hakikatnya Pas lebih lama bersama dengan DAP berbanding Kerajaan Perpaduan

Beliau juga menyindir penyokong pembangkang dengan peribahasa “kura-kura simpan dalam perahu, berpura-pura macam orang tak tahu”.

“UMDAP kata mereka. Faktanya Pas lebih lama dengan DAP.

“Bersatu bersama DAP, menang PRU14 dan jadi kerajaan 22 bulan.

“Bila Umno bersama #KerajaanPerpaduan mereka gelar UMDAP. Kumpulan ini sebenarnya orang hipokrit tahap tinggi.

“Kura-kura simpan dalam perahu,

Berpura-pura mcm orang tak tahu,” ciapnya di X.

Sebelum ini, gelaran tersebut pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika perbahasan di Parlimen tahun lalu dan sehingga kini ia menjadi ikutan sesetengah penyokong parti pembangkang.

Ia terbukti apabila penyokong Perikatan Nasional (PN) mempamerkan sebuah replika yang mencantumkan logo parti Umno dengan DAP ketika penamaan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian berpendapat, golongan sedemikian disifatkan sebagai hipokrit kerana enggan mengingat fakta sebenar.

BACA JUGA ‘Skandal terpanas’ kementerian didakwa bakal terbongkar, relaks je Rafizi balas balik