Selepas PN mahu kemuka petisyen jika PH menang PRK KKB, ini reaksi Anthony Loke

Pendirian Perikatan Nasional (PN) yang akan mengemukakan petisyen pilihan raya sekiranya Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) menimbulkan persoalan.

Padahal, PN boleh saja melaporkan sekarang kepada pihak berkuasa segera berhubung dakwaan jentera PH ada menyogok dan menyalahgunakan jentera kerajaan sepanjang kempen PRK KKB berlangsung.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pemimpin pembangkang bersikap aneh kerana dilihat suka menangguhkan laporan kepada pihak berwajib sedangkan mereka dakwa ada bukti PH melakukan kesalahan semasa berkempen.

“Kita menjalankan kempen kita ini dengan teratur, mengikut undang-undang. Kita memang tidak ada unsur rasuah.

“Jadi, mana-mana pihak yang tak puas hati, dia boleh buat petisyen dan sebagainya sama ada lepas pilihan raya, itu adalah hak ataupun proses dalam undang-undang.

“Saya rasa ini agak aneh. Apa pun terpulang kepada mereka (PN). Saya rasa dia (PN) tak boleh menang dalam pilihan raya (tiba-tiba) dia nak cabar pula nanti dalam petisyen. Bagi kita, kita menjalankan kempen mengikut lunas undang-undang.

“Kalau betul kita buat kesalahan, patutnya dilaporkan sekarang bukan tunggu selepas pilihan raya.

“Maksudnya kalau dia menang, tak ada masalah. Kalau dia kata dia nak cabar. Jadi, kalau ada mana-mana pihak tak berpuas hati, mereka boleh adukan kepada mana-mana pihak berkuasa,” katanya.

Loke berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sebuah akademi memandu dekat bandar Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN akan mengemukakan petisyen pilihan raya jika PH memenangi DUN KKB.

Takiyuddin mendakwa pihaknya mempunyai bukti berlakunya ‘penyaluran’ yang disifatkan sebagai rasuah, selain dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan dalam PRK ini.

BACA JUGA Dua ahli pengurusan Selangor FC akan dipanggil polis