Asyraf Wajdi seru pengundi Melayu, ahli Umno sokong Pang Sock Tao
Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyeru orang Melayu dan penyokong parti itu dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu supaya keluar mengundi Pang Sock Tao, pada hari pengundian esok.
Setiausaha Agung UMNO berkenaan berkata, sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP itu penting kerana seiring dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.
“Sebab itu pada Sabtu ini (11 Mei), saya selaku Setiausaha Agung UMNO minta seluruh orang Melayu, penyokong UMNO sebab dulu kita pernah sokong calon MCA.
“Hari ini, kita sokong yang mewakili aspirasi Kerajaan Perpaduan, siapa dia? Calon nombor dua (Sock Tao).
“Yang paling penting Sabtu ini kita kena nobatkan YB (Yang Berhormat) Pang (Sock Tao sebagai wakil rakyat),” katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale PRK Kuala Kubu Baharu, malam tadi.
Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyifatkan Sock Tao sebagai pemimpin untuk semua kaum.
“Dia (Sock Tao) akan jaga semua. Dia akan jaga bukan saja orang UMNO, Barisan Nasional (BN) dan PH tetapi juga seluruh rakyat berbilang kaum.
“Jangan lupa ini semua muka yang mengangkatnya.
“Saya percaya, YB yang kita angkat akan jadi jambatan kepada kerajaan negeri dan Persekutuan.
“Saya percaya kesejahteraan dan kebajikan rakyat akan terpelihara.
“Justeru, saya seru sokongan kepada calon Kerajaan Perpaduan. Undi calon nombor dua (Sock Tao),” kata Asyraf Wajdi lagi.
BACA JUGA ‘Kalau nak popular masuk Gegar Vaganza’