‘Kalau nak popular masuk Gegar Vaganza’

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengaitkan pemilihan wakil rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) dengan pertandingan nyanyian terbitan Astro, Gegar Vaganza.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu mengingatkan bahawa terdapat perbezaan antara Kerajaan Perpaduan dan pembangkang yang hanya menjual isu-isu tertentu bagi mencari perhatian, terutama semasa musim pilihan raya.

“Kerajaan bukan bertugas dan berfungsi nak jadi popular, kalau nak popular masuk Gegar Vaganza.

“Tetapi kerajaan mengambil langkah yang perlu supaya rakyat mempunyai masa depan yang jauh lebih baik,” katanya dalam Ceramah Mega Perpaduan Grand Finale PRK Kuala Kubu Baharu, malam tadi.

Beliau menambah calon PH, Pang Sock Tao berhasrat menyambung kerja baik mendiang Lee Kee Hiong bagi kepentingan penduduk di DUN Kuala Kubu Baharu.

Amirudin menegaskan pemimpin sedemikian yang perlu dipilih berbanding calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut, 54, yang enggan ditemu bual media bagi menjawab beberapa isu berbangkit.

Pang Sock Tao

“Apabila saya teliti manifesto dibentang Pang Sock Tao (calon DAP) seminggu yang lepas, saya lihat beliau bukan saja nak menang dalam pilihan raya tapi beliau ingin meneruskan kerja baik dari mendiang Lee Kee Hiong.

“Yang kedua, beliau mahu pastikan masa depan negeri, negara, rakyat dan generasi masa depan terjamin.

“Ini pemimpin yang kita nak pilih, bukan pemimpin yang tak tahu nak jawab apa-apa,” tegas Amirudin lagi.

BACA JUGA Penyokong PH kena terbalikkan baju masuk masjid di KKB, siapa ‘orang masjid’ ni ye?