Cadangan keputusan SPM 2023 diumum lebih awal, ini kata Timbalan Menteri Pendidikan

Cadangan agar keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diumumkan lebih awal dari tarikh asal iaitu 27 Mei ini, akan dibawa ke peringkat perbincangan untuk diperhalusi pihak berkepentingan sebelum keputusan dibuat.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menimbang cadangan semua pihak termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berhubung pengumuman lebih awal itu.

”Seperti yang saya kata, kerajaan ini merupakan kerajaan yang sudi mendengar. Apabila kita menerima pandangan yang berbeza daripada semua sektor, maka pihak KPM akan mempertimbangkan semua pandangan tersebut.

“Beri kami sedikit masa sebelum satu keputusan atau kenyataan media berkaitan dengan isu ini dapat dibuat nanti,” katanya dipetik FMT.

Semalam, KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan peperiksaan SPM 2023 yang membabitkan 395,870 calon akan diumumkan pada 27 Mei ini bermula jam 10 pagi.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung NUTP Fouzi Singon dalam kenyataan merayu agar keputusan SPM 2023 diumumkan lebih awal (23 Mei) kerana tarikh rasmi dikeluarkan KPM itu, jatuh pada cuti sekolah.

BACA JUGA Pas tidak ghairah berkempen, prestasi jentera UMNO lebih baik