Pas tidak ghairah berkempen, prestasi jentera UMNO lebih baik

Pas tidak memobilisasi jentera mereka secara bersungguh-sungguh sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).

Hal itu dibangkitkan Ilham Centre menerusi kenyataan mengenai Pola Pengundian dan Prediksi PIlihan Raya Kecil N6 Kuala Kubu Baharu.

Menurut badan pemikir itu, dalam PRK kali ini tidak nampak kelibat jentera Pas dari negeri-negeri lain selain Selangor berkubu di keseluruhan 16 PDM di dalam Kawasan DUN berkenaan.

“Penyertaan Pas Selangor juga tidak agresif, menyumbang kepada suasana sebegini rupa.

“Prestasi tiga wakil rakyat iaitu Ahli Parlimen, ADUN Hulu Bernam dan ADUN Batang
Kali sudah menjadi pertikaian atas khidmat mereka selepas bergelar YB.

“Isu YB PN tidak ‘perform’ menjadi topik perbincangan pengundi di sini, tetapi kempen calon lain tidak memanfaatkan isu ini ke khalayak lebih luas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ilham Centre menyifatkan prestasi jentera BN terutama UMNO kelihatan lebih baik berbanding PRN tahun lalu.

Jelasnya,UMNO seolah-olah menemui rentak dan membawa hujah yang lebih konstruktif meyakinkan pengundi putih mereka untuk penyokong calon PH kali ini.

“Pemimpin UMNO hanya mengurus ahli mereka agar menerima semangat Kerajaan Perpaduan dan kelangsungan parti itu dengan kerajaan demi kebaikan masa hadapan.

“Sebilangan ahli UMNO yang protes dalam pilihan raya lalu mulai kembali menerima
hakikat UMNO bersama PH.

“Faktor paling besar ialah mereka tidak mendapat apa-apa kelebihan bersama pembangkang di Selangor serta PN juga tidak menyantuni mereka pasca pilihan raya,” kata Ilham Centre lagi.

Seramai 39,362 pengundi di DUN KKB akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu mereka esok.

Gelanggang empat penjuru di KKB menyaksikan calon Perpaduan, Pang Sock Tao berentap dengan Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

BACA JUGA Mutang Tagal meninggal dunia