Galak keluarga ahli peladang jana kekayaan

Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Datuk Mahfuz Omar memaklumkan pihaknya kini sedang mengumpul maklumat Keluarga Peladang atau Family Farming bagi membantu golongan berkenaan dalam sektor berkaitan.

Jelas beliau, bantuan tersebut adalah seperti memberikan nasihat dan mencari jalan seperti memberi geran atau pinjaman kepada Keluarga Peladang jika golongan itu memerlukan peruntukan.

”Program yang dilancarkan penghujung tahun lalu itu bertujuan memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa sektor pertanian merupakan satu sumber pendapatan yang boleh menjana keuntungan dan kekayaan kepada keluarga.

”Kami berhasrat mahu mewujudkan keluarga peladang… maknanya penglibatan suami, isteri atau anak-anak.

”Dalam LPP ini, ada pelbagai pecahan seperti ternakan, tanaman, sawit, getah dan juga ikan ternakan kolam. Usahawan-usahawan kita juga termasuk dalam sektor padi, sayur-sayuran dan sebagainya.

”Jadi, kita nak menggalakkan keluarga-keluarga ahli peladang kita ini, melibatkan diri bukan hanya berseorangan, tetapi mereka juga membawa isteri dan anak-anak untuk sama-sama terlibat,” katanya kepada Harapan Daily, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai perkembangan terbaharu berkaitan sebarang usaha yang sedang dilaksanakan pihaknya.

Untuk rekod, Mahfuz yang juga Naib Presiden AMANAH dilantik menjadi Pengerusi LPP sejak 15 Mei tahun lalu.

Sebelum ini, LPP turut dilaporkan berhasrat menoktahkan kemiskinan tegar dalam kalangan ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara.

Menurut Mahfuz isu tersebut antara fokus yang diberikan tumpuan agar kehidupan petani yang dibelenggu kemiskinan sejak sekian lama, dapat diminimumkan.

Sebagai permulaan, beliau berkata pihaknya sedang mengenal pasti golongan miskin tegar dalam kalangan ahli-ahli PPK dengan kerjasama agensi berkaitan untuk dibantu menerusi program yang akan dibangunkan.

BACA JUGA Selepas pembedahan ketiga, ini luahan Faisal