Ini sebab mengapa Mahfuz beri bayangan DUN KKB bakal ditawan Perpaduan

Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan masyarakat di Kuala Kubu Baharu (KKB) berhasrat untuk memperkukuhkan lagi kerajaan negeri, sekali gus memberi bayangan kerusi itu bakal ditawan Perpaduan.

”Insya-Allah saya penuh yakin calon Perpaduan (Pang Sock Tao) akan berjaya mempertahankan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) KKB.

”Ini kerana saya nampak rakyat mahu memperkukuhkan Kerajaan Negeri Selangor. Rakyat lebih melihat kepada pengukuhan kerajaan negeri.

”Apatah lagi dengan gaya politik yang tidak berkesudahan iaitu politik keagamaan dan perkauman yang sempit,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily, hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai potensi calon Perpaduan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan yang akan berlangsung esok.

Mengulas lanjut, beliau menyifatkan masyarakat di KKB yang terletak dalam daerah Hulu Selangor itu sebagai golongan yang lebih terbuka.

”Saya fikir masyarakat KKB ini lebih terbuka berbanding sebelum ini, ia mudah terperangkap dan isu-isu sebegitu.

”Isu-isu sedemikian sudah tidak menjadi keperluan lagi dalam politik baharu di negara kita,” ujar beliau lagi.

Untuk rekod, PRK DUN KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu.

PRK kali ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru calon yang bertanding.

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Kee Hiong berjaya mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (Gerakan), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).

BACA JUGA Asyraf Wajdi seru pengundi Melayu, ahli Umno sokong Pang Sock Tao