Mutang Tagal meninggal dunia

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur jam 11.46 pagi tadi.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan di pusat kesihatan itu sejak 6 Mei lalu.

Perkara itu disahkan Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan, hari ini.

“Beliau menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada 6 Mei 2024 dari Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, keluarga mendiang mengucapkan ribuan terima kasih atas ucapan takziah serta doa yang dikirimkan, dan menghargai ruang masa diberikan kepada mereka dalam menghadapi masa sukar berkenaan.

Mutang, 70, mencipta sejarah sebagai Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara ke-20.

Bapa kepada tiga anak itu mengangkat sumpah jawatan pada 19 Februari lalu.

Pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas di Sarawak dari 1982 hingga 1990, mendiang memiliki latar belakang pendidikan serta praktis dalam bidang perundangan.

BACA JUGA Selepas pembedahan ketiga, ini luahan Faisal