‘Pangkah calon nombor 1 itu pembangkang, pangkah nombor 2 itu kerajaan’

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menyerahkan kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) memilih calon wakil rakyat mereka menjelang pertembungan esok.

”Jika pangkah calon nombor satu, itu bererti pembangkang.

”Jika pangkah calon nombor dua, itu bererti kerajaan.

”Saudara dan saudari ingin pembangkang atau kerajaan? Kerajaan yang adil tuan-tuan dan puan puan,” katanya dalam satu sedutan video Grand Finale KKB yang dimuat naik di Facebook Datuk Lokman Noor Adam, hari ini.

PRK kali ini akan menyaksikan pertembungan empat penjuru calon yang bertanding.

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian, turut mengimbas kembali tentang pembahagian kerusi yang pernah dilakukan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Beliau menyifatkan, pembahagian kerusi yang dilakukan kedua-dua parti tersebut adalah sesuatu yang dilihat adil.

”Dulu semasa BN Hulu Selangor, kita bagi kepada calon India. Di KKB kita bagi (kerusi) kepada calon Cina, dan Hulu Bernam kepada calon Melayu.

”Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (bekas Menteri Besar Selangor) mengangguk-angguk membenarkan apa yang saya sebut.

”Di kawasan yang (50-50), kita bagi kepada dua melayu dan dua bukan melayu. Itu membuktikan BN adalah parti yang adil,” katanya.

Dalam ceramah sama, beliau turut menceritakan tentang pembahagian kerusi yang dilakukan PH sebelum ini.

”Di Hulu Selangor, PH juga beri kepada calon India. Di KKB PH bagi kepada Cina.

”Di Hulu Bernam dan Batang Kali juga PH berikan kerusi itu kepada calon Melayu.

”Ini bermakna PH juga adil kepada semua kaum.. setuju tuan-tuan setuju?,” katanya ketika berceramah di DUN tersebut.

BACA JUGA Ini sebab mengapa Mahfuz beri bayangan DUN KKB bakal ditawan Perpaduan