Selepas kecoh, masjid kata tak apa pakai baju parti, jangan edar risalah politik saja

Selepas kecoh orang ramai yang memakai baju Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Malaysia Madani diminta menterbalikkan baju mereka, Masjid Bandar Utama Batang Kali hari ini mengubah pendirian.

Menurut satu pengumuman rasmi yang dibuat menjelang solat Jumaat hari ini, orang ramai hanya tidak dibenarkan berkempen dengan mengedarkan apa-apa risalah politik di masjid itu.

“Pakai baju apa tidak kisah tetapi dilarang sama sekali menyebarkan sebarang risalah politik di dalam masjid,” kata pengumuman yang dibuat menjelang azan dan khutbah Jumaat itu.

Beberapa hari lepas, masjid ini kecoh apabila petugas masjid ini menghalang penyokong PH masuk ke masjid dengan baju yang berlogo PH atau Malaysia Madani.

Jika mereka ingin masuk juga, mereka diminta menterbalikkan baju yang mereka pakai.

Namun yang menimbulkan isu apabila penyokong yang datang dengan memakai baju berlogo Perikatan Nasional (PN) dibenarkan pula.

Ekoran itu, Exco Agama Selangor, Dr Fahmi Ngah berkata beliau akan turun ke masjid itu dan akan solat Jumaat di masjid berkenaan.

BACA JUGA Mutang Tagal meninggal dunia