Siapa baling bom petrol?
Polis menyiasat insiden sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur yang dibaling bom petrol oleh empat individu tidak dikenali pada awal pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis Dang Wangi Nazron Abd Yusof mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian di Jalan Yap Kwan Seng itu, lapor Harian Metro.
Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api.
“Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan. Berdasarkan rakaman CCTV itu, kejadian berlaku jam 2.18 pagi (semalam) tetapi masa sebenar kejadian masih disiasat,” katanya.
Sejak semalam, tular satu rakaman CCTV berdurasi 45 saat berdekatan premis terbabit tular di media sosial.
Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.
Satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat yang juga tular di media sosial pula menunjukkan premis berkenaan terbakar dengan terdapat orang awam membantu memadamkan kebakaran.
Mengikut tarikh dan masa yang terdapat pada rakaman video CCTV terbabit, kejadian itu berlaku jam 2.18 pagi, semalam.
BACA JUGA PRK KKB: Pas ‘scammer’ atas nama agama