32.51 peratus sudah keluar mengundi setakat 12 tengah hari

Sebanyak 32.51 peratus pemilih telah keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu setakat 12 tengah hari ini, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebagai perbandingan, sehingga waktu yang sama peratusan keluar semasa PRK DUN Pelangai dengan seramai 16,456 pengundi berdaftar pada 7 Oktober 2023 ialah 44 peratus.

Proses pengundian bagi memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) baharu di KKB melibatkan 18 pusat mengundi dengan 74 saluran dan akan tamat pada 6 petang ini.

Jumlah keseluruhan pengundi di Kawasan dalam Parlimen Hulu Selangor itu ialah 40,226 pemilih termasuk 863 pengundi awal.

Paling ramai pemilih dicatatkan di Sekolah Rendah Agama Bandar Utama Batang Kali dengan 5,889 pengundi menerusi sembilan saluran.

Berdekatan tempat mengundi sama ialah Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali yang mempunyai 3,182 pengundi dengan enam saluran pengundian dibuka.

Sementara itu, pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser (Tapak Lama) mempunyai 40 orang pengundi dan ditutup pukul 2 petang.

Dua lagi pusat mengundi yang mempunyai satu saluran iaitu Pusat Pembangunan Pendidikan dan Nutrisi Kanak-kanak Kampung Pertak dan Tadika KEMAS Kampung Gerachi Jaya, yang masing-masing mempunyai 179 dan 199 pengundi tetap dibuka hingga jam 6 petang.

_cuva

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao; Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional/PN); Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia/PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN Kuala Kubu Bharu terdiri daripada 46.4 peratus pengundi Melayu, Cina (30.7 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus).

BACA JUGA Hangus terbakar menjelang Subuh, pemilik 26 motosikal di universiti ini berputih mata