Bukan biasa-biasa, dua bintang MU doakan Faisal Halim

Insiden simbah asid terhadap pemain Selangor FC (SFC), Faisal Halim, minggu lalu turut mendapat perhatian daripada pemain bola sepak luar negara.

Memetik Harian Metro, pemain luar negara itu adalah bintang daripada kelab terkemuka, Manchester United (MU) iaitu Andre Onana dan Alejandro Garnacho.

Mereka mendoakan agar Faisal yang juga pemain skuad kebangsaan diberi kesembuhan dan kesejahteraan.

”Kepada Faisal, kami mengetahui apa yang berlaku dan merasai (penderitaan) kamu. Kami tahu bahawa sekarang ini adalah situasi cukup sukar untuk kamu dan juga keluarga.

“Kami berharap yang terbaik untuk kamu, sentiasa kuat kerana kami sentiasa bersama kamu,” kata penjaga gol MU, Andre Onana dalam satu temubual khas bersama stesen televisyen swasta.

Terbaharu, tahap kesihatan pemain berusia 26 tahun itu dilapor semakin positif, selepas selamat menjalani pembedahan ketiga membabitkan ‘skin allograft’, kelmarin.

Walaupun, berada di Unit Rawatan Rapi (ICU), Faisal dilapor sudah boleh berjalan sendiri, malah meluahkan hasrat untuk segera pulang ke rumah.

Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, Faisal dihampiri dua individu bermotosikal sebelum mereka bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Beliau kemudiannya dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, asid yang disimbah kepada Faisal adalah jenis asid sulfurik pekat.

BACA JUGA Ulang tahun UMNO Ke-78, ini apa yang diperkatakan Presiden