Ulang tahun UMNO Ke-78, ini apa yang diperkatakan Presiden
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan parti itu sudah menempuh pelbagai zaman dan kepemimpinan, mendepani segala rintangan dan ujian di persada politik negara selama 78 tahun lamanya.
Beliau berkata, parti itu memainkan peranan penting dalam sejarah Malaysia sejak awal penubuhannya sehingga ke hari ini.
Katanya, jasa dan perjuangan pemimpin dan ahli UMNO terdahulu telah membawa kepada kehidupan yang lebih baik buat ahli atau rakyat secara keseluruhannya.
”Setelah hampir lapan dekad usianya, tentu sekali UMNO telah melalui pelbagai fasa dalam memastikan kelangsungannya.
”Hari ini 11 Mei menjadi manifestasi keberadaan UMNO dan menjadi tarikh ulung untuk kita bermuhasabah dan memperbaiki landasan perjuangan, demi agama, bangsa dan negara.
”Marilah kita berdoa semoga tahun-tahun mendatang kita akan menyambut lagi hari ulang tahun UMNO.
”Marilah kita berdoa agar UMNO kembali menjadi sebuah parti yang kuat untuk terus membawa harapan rakyat.
”Semoga Allah SWT sentiasa memberikan hidayah, petunjuk dan panduan kepada kami semua dalam melayari ujian dalam perjuangan politik di dunia ini,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi beliau.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri optimis bahawa kejayaan akan dapat dicapai pada penghujungnya.
”Insya-Allah dengan kesabaran, kita akan menuai kejayaan di penghujungnya dan mendapat ganjaran syurga Allah yang kekal abadi.
”Saya berharap kita semua sentiasa teguhkan tekad meneruskan legasi perjuangan parti yang kita pertahankan dulu, kini dan selamanya demi ‘Bersatu, Bersetia, Berkhidmat’.
”Selamat Menyambut Ulang Tahun UMNO ke-78,” ucap beliau.
BACA JUGA 32.51 peratus sudah keluar mengundi setakat 12 tengah hari
Â