Diarah tidak keluar dari hotel, 300 bakal jemaah Malaysia di Makkah bingung

Gara-gara menyertai pakej haji yang murah, kira-kira 300 bakal jemaah yang sudah berada di Makkah, kini sedang bingung.

Agensi umrah yang menguruskan perjalanan mereka gagal menunaikan janji untuk mendapatkan kebenaran mengerjakan haji pada musim ini.

Mulanya, bakal haji terbabit menyedari pakej haji yang ditawarkan agensi terbabit menggunakan visa pelancong.

Seorang pengguna Facebook, Zhyema Zhyedee mendakwa dihubungi rakannya yang berada dalam kelompok terbabit dan kini berada di Makkah, bagi mendapatkan bantuan selepas menyedari diperdaya agensi berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook Forum Umrah DIY, dia berkata, rakannya dimaklumkan agensi pelancongan terbabit menjanjikan untuk memberi gelang kebenaran mengerjakan haji, namun masih gagal berbuat demikian sehingga hari ini.

Kata Zhyema, rakan itu juga memberitahu agensi terbabit turut mengarahkan jemaah berkenaan agar tidak keluar dari hotel lantaran dibimbangi ditahan pihak berkuasa Arab Saudi.

Ceritanya lagi, dia terlebih dahulu sudah menasihati rakannya supaya berhati-hati dengan syarikat yang menawarkan khidmat haji dengan bayaran murah ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berangkat ke Makkah.

“Pihak agensi mengenakan bayaran RM45,000 bagi setiap individu dan ketika di KLIA, baharulah dia perasan seolah-olah ditipu selepas diberikan visa pelancong untuk mengerjakan haji,” katanya dalam hantaran di forum Facebook tersebut.

Rata-rata warga maya menyarankan mereka yang terbabit pulang ke Malaysia bagi mengelak tindakan undang-undang daripada pihak berkuasa Arab Saudi.

BACA JUGA Bukan biasa-biasa, dua bintang MU doakan Faisal Halim