Ini tawaran terbaik, akui bekas pegawai kanan kerajaan

Bekas Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Hadzir Md Zain berpendapat kenaikan gaji untuk penjawat awam mulai 1 Disember depan merupakan tawaran terbaik daripada Kerajaan Madani.

Hadzir, 67, berkata, pengumuman Perdana Menteri itu memberi manfaat kepada kira-kira 1.7 juta penjawat awam dengan melibatkan sejumlah RM10 bilion dalam belanja mengurus mulai Disember nanti.

“Kenaikan gaji penjawat awam yang diumumkan adalah kenaikan gaji yang terbaik sepanjang 34 tahun saya terlibat dalam perkhidmatan awam dan 10 tahun terlibat dalam pengurusan tertinggi.

“Saya dapati ini adalah tawaran yang terbaik daripada kerajaan.

“Kalau didarabkan dengan lima, purata lima orang dalam satu rumah penjawat awam, bermakna lebih 8 juta orang akan mendapat manfaat daripada tawaran kerajaan ini,” katanya dalam satu rakaman video yang dmuatnaik di TikTok beliau.

Mantan pegawai kanan kerajaan berasal dari Kedah itu berkata, secara perbandingan kenaikan gaji sebanyak 35 peratus pada 2007 adalah terhad kepada kumpulan sokongan 2 iaitu gred 1 hingga 16.

“Pada masa itu, gaji yang paling rendah adalah RM800. Kalau 35 peratus daripada RM800, bermakna kenaikan dalam RM200.

“Namun, kali ini naik daripada RM1,700 kepada RM2,000, bermakna naik RM300.

“Jadi, ini adalah lonjakan gaji terbaik dalam sejarah,” katanya yang telah mula berkhidmat sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) sebagai Penolong Setiausaha Bahagian Perancangan Dasar, Kementerian Pertanian pada 1983.

Beliau menambah, kenaikan gaji pada akhir tahun ini pula merangkumi kumpulan 1 hingga ke atas termasuk Jusa.

“Dulu terhad kepada kumpulan sokongan 2,” ujarnya.

Dalam masa sama, Hadzir turut merungkai kekeliruan kononnya bajet belum diluluskan.

“Untuk bulan Disember, gaji telah diluluskan tahun lepas. Duit itu sudah ada, maknanya kerajaan tidak boleh tidak bayar.

“Pada saya, ini adalah satu langkah kerajaan yang berani ketika kerajaan masih ada hutang yang masih perlu diselesaikan.

“Kerajaan mengambil langkah berani untuk memberi komitmen untuk belanja sebanyak RM10 bilion mulai Disember,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru penjawat awam agar tidak berasa sangsi dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung kenaikan gaji.

“Apa yang perlu dibuat adalah tingkatkan produktiviti. Jabatan yang mengutip hasil gunakanlah kreativiti, jadi kerajaan mendapat dana untuk bayaran gaji.

“Tutup ketirisan sama ada pembaziran, penyeludupan dengan cara ini kerajaan mempunyai cukup dana termasuk bonus hari raya.

“Saya mengakui dan menjadi saksi hidup bahawa Kerajaan Perpaduan adalah terbaik,” kata Hadzir lagi.

BACA JUGA PRK KKB: Polis, tentera menangkan PH