‘Meremang, menangis dengar pemandu e-hailing ini sebut kalimah Allah’

Selepas tiga hari kejadian pokok tumbang ketika hujan lebat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, seorang pemandu e-hailing berkongsi rakaman kamera papan pemuka (dashcam) keretanya ketika insiden itu berlaku.

Menerusi perkongsian Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, yang cedera dalam kejadian menggemparkan itu, dapat didengar bunyi kuat detik-detik pokok besar itu tumbang menghempap landasan monorel serta 18 kenderaan lain.

Dalam masa sama juga, kedengaran jelas Abdul Hayyi yang merupakan pemilik kereta Perodua Bezza berwarna merah itu tidak putus-putus mengucapkan kalimah suci Allah ketika nahas berlaku.

“Terima kasih atas doa semua.

“Doakan saya Allah hadiahkan saya kereta baharu ya. Ujian baru sebulan kahwin,” katanya menerusi hantaran di TikTok semalam.

Abdul Hayyi bersama seorang penumpang wanita warga Sweden, 72, terselamat dan difahamkan wanita terbabit masih mendapatkan rawatan di hospital.

Rata-rata orang ramai turut meluahkan rasa sebak selain menyatakan rasa meremang malah menangis menyaksikan detik-detik menakutkan dialami mangsa pokok tumbang itu.

BACA JUGA Pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu bermula