Pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu bermula

Sebanyak 18 pusat mengundi membabitkan 74 saluran dibuka dari 8 pagi hingga 6 petang ini bagi membolehkan pengundi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) memilih wakil rakyat baharu.

Hanya pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bukit Fraser yang mempunyai 40 orang pengundi, ditutup 2 petang.

Seramai 39,269 pemilih akan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi, susulan kematian penyandang kerusi DUN tersebut, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Kesemua calon tidak akan turun mengundi kerana merupakan pengundi luar.

Proses penjumlahan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di Kuala Kubu Baharu.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN KKB memiliki sebanyak 40,226 pengundi berdaftar.

Daripada jumlah itu, 39,362 ialah pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

Pada 7 Mei lalu, sebanyak 97 peratus atau 769 anggota polis, tentera dan pasangan masing-masing telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal.

BACA JUGA ‘Islam terancam’ modal lapuk Hadi

Â