PH menang di KKB dengan majoriti 3,869 undi

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao memenangi Pilihan Raya DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) dengan majoriti 3,869 undi.

Sock Tao mengaut 14,000 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Sementara itu, Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing hanya mendapat 152 dan 188 undi sekaligus kedua-duanya hilang wang deposit.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya SPR, Yuhanas Auree Kamaruddin mengumumkan kemenangan Sock Tao di pusat penjumlahan undi di Kuala Kubu Bharu malam ini.

Seramai 24,145 orang atau 61.34 peratus daripada 39,362 pengundi biasa keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, sebanyak 69.25 peratus pengundi DUN KKB keluar mengundi.

Terdapat 16 pusat daerah mengundi (PDM) di dalam kawasan DUN KKB.

Kemenangan PH malam ini sekaligus menafikan angan-angan PN yang meletakkan objektif menawan 4-0 dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor ini.

BACA JUGA PM ucap tahniah PH kekal di KKB