PRK KKB: ‘Saya sampai awal sebab memang sudah terbiasa’

Sudah terbiasa melakukan semua perkara di awal waktu, membuatkan Nor Adi Rusli menjadi pengundi pertama menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.

Kakitangan kerajaan berusia 40 tahun itu berkata, beliau tiba di pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming KKB pada jam 6.50 pagi.

”Memang setiap tahun saya akan gerak awal dari rumah.. hari ini 6.50 pagi saya sudah sampai di sini.. datang dengan anak tapi anak bawah umur lagi.

”Setiap kali mengundi, memang saya orang pertama.. saya akan sampai awal sebab memang sudah terbiasa..

”Apa-apa yang saya buat, memang mula awal.. saya tak suka lambat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai membuang undi.

Nor Adi Rusli

Beliau juga sempat memberitahu dia belum bersarapan dan terus menuju ke pusat pengundian di KKB.

Anak jati Kuala Kubu Baharu yang kini menetap di Batang Kali itu berkata, beliau lebih selesa mengundi di kampung kelahirannya itu.

”Setiap kali mengundi saya akan datang ke sini (KKB) iaitu tempat yang sama.. saya juga sudah banyak kali mengundi sejak umur 21 tahun.

”Saya tak tukar tempat mengundi.. sepatutnya boleh tukar, tapi saya kekalkan di sini,” ujar lelaki itu.

PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong yang mewakili PH pada 21 Mac lalu, menyaksikan pertembungan empat penjuru calon yang bertanding.

Mereka terdiri daripada dua pesaing utama iaitu Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Perpaduan dan Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut dari Perikatan Nasional (PN).

Dua lagi calon yang akan berebut kerusi di utara Selangor itu adalah Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

BACA JUGA Warga emas sanggup memandu empat jam untuk buang undi