Warga emas sanggup memandu empat jam untuk buang undi

Biarpun kudratnya tidak segagah golongan muda, namun ia bukan penghalang seorang lelaki warga emas dan isterinya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) hari ini.

Abdul Rahim Bidin, 67, dan isterinya Noraini Mansor, 65, datang ke Kuala Kubu pagi tadi dari Kuala Kangsar, Perak dengan memandu kenderaan.

Pasangan itu berkata, mereka bertolak sebelum Subuh untuk menuju ke pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khing Ming KKB.

”Disebabkan tanggungjawab.. saya datang juga ke sini..

”Tanggungjawab sudah selesai.. Datang awal mengundi.. semua OK..,” katanya kepada pemberita ketika ditemui.

Menurut Abdul Rahim yang merupakan pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau dan isteri akan pulang semula ke Kuala Kangsar selepas ini, tetapi mahu singgah minum sebentar.

”Lepas ini minum dulu.. lepas itu baru balik Kuala Kangsar..

”Dulu saya duduk di Kuala Kubu Baharu ini tapi sekarang tinggal di Kuala Kangsar,” katanya yang tinggal di Perak selepas bersara 10 tahun lalu.

Abdul Rahim antara 39,269 pemilih berdaftar pada PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertembungan empat penjuru.

Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao yang menggalas tanggungjawab mempertahan kerusi tersebut bersaing dengan Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional (PN), Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

BACA JUGA Pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu bermula