Pusat hiburan dibaling bom petrol: Dua pemuda ditahan di Batu Caves

Dua pemuda berusia 25 tahun ditahan di Batu Caves petang semalam bagi membantu siasatan berkaitan kes sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng terbakar akibat dibaling bom petrol awal pagi kelmarin.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, kedua-dua lelaki tempatan berkenaan ditahan pukul 3 petang di sebuah rumah.

“Kita akan mengemukakan perintah reman terhadap kedua-dua suspek terbabit esok (hari ini).

“Berdasarkan siasatan awal, kejadian berkenaan tidak melibatkan sebarang unsur ekstremisme,” lapor BH.

Dalam masa sama, polis turut telah mengambil keterangan pemilik premis dan pengurus pusat hiburan berkenaan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah,” kata Rusdi lagi.

Berdasarkan tarikh dan masa yang terdapat pada rakaman video CCTV, kejadian itu berlaku jam 2.18 pagi pada 9 Mei.

BACA JUGA ‘Meremang, menangis dengar pemandu e-hailing ini sebut kalimah Allah’