Tidak rasmi: DUN Kuala Kubu Bharu terus jadi milik PH

Pakatan Harapan (PH) kekal menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Calon PH dari DAP, Pang Sock Tao berjaya menewaskan tiga calon lain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini.

Pang mengaut 14,000 undi dengan majoriti 3,865 undi berdasarkan keputusan tidak rasmi setakat jam 9 malam tadi.

Rekod ini sekali gus mempertahankan DUN itu yang dimenangi DAP sejak Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Perkembangan penjumlahan undi dikongsikan DAP di platform sosial https://dapmalaysia.org/kkb2024/.

Keputusan tidak rasmi setakat 9 malam juga menunjukkan calon Bersatu, Khairul Azhari Saut yang mewakili Perikatan Nasional (PN) memperoleh 10,135 undi.

Sementara itu, calon Bebas, Nyau Ke Xin menerima 188 undi manakala Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya memperoleh 152 undi.

Jumlah undi yang dikira sehingga tempoh yang sama adalah sebanyak 24,475 daripada 40,413 pengundi berdaftar.

Seramai 24,145 orang atau 61.34 peratus daripada 39,362 pengundi biasa keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini.

BACA JUGA Sudah 53 peratus undi dikira, PH dahului lebih 3,000 undi