Tohmahan ‘UMDAP’ terbukti tak jejas semangat jentera UMNO
Tohmahan dengan melabel UMNO sebagai UMDAP (UMNO-DAP) tidak sedikit pun menjejaskan semangat jentera pilihan raya parti untuk membantu memenangkan calon PH daripada DAP.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata jalinan Barisan Nasional (BN) dan PH menjadi tunjang kepada Kerajaan Perpaduan bersama parti di Sabah dan Sarawak.
“Biarpun kita dibaling dengan isu UMDAP dan agak sukar untuk kita melakukan penjelasan, hakikatnya jalinan BN (Barisan Nasional) dan PH menjadi tunjang kepada kerajaan bersama parti lain di Sabah dan Sarawak.
“Tunjang ini mesti diperkukuhkan, saya sudah nyatakan bahawa kepemimpinan DAP banyak membantu calon BN dalam beberapa pilihan raya kecil.
“Ini pertama kali calon DAP bertanding PRK dan tidak salah jika kita membalas budi yang ditabur oleh mereka,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Ulang Tahun UMNO ke-78 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.
Menurutnya, kejayaan PH mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini juga bukti bahawa UMNO memiliki daya tahan yang tinggi untuk terus memperkukuhkan Kerajaan Perpaduan.
Calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dipilih menjadi wakil rakyat yang baharu bagi DUN KKB selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu, Khairul Azhari Saut.
Sock Tao memperoleh 14,000 undi dengan 3,869 majoriti manakala Khairul Azhari mendapat 10,131 undi.
Sementara itu, calon Bebas, Nyau Ke Xin dan Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) hanya mengaut 188 dan 152 undi masing-masing.
DUN KKB mempunyai 40,226 pengundi dengan 39,362 pengundi biasa, 625 pengundi anggota polis dan pasangan, 238 pengundi tentera dan pasangan serta seorang pengundi luar negara.
Seramai 24,145 iaitu 61.34 peratus daripada 39,362 pengundi biasa keluar menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu pada PRK hari ini.
BACA JUGA PM ucap tahniah PH kekal di KKB