Penduduk bengang 7 tahun masalah air tak selesai tapi bil setiap bulan tinggi

Penduduk di Felda Keratong Enam, Rompin meluahkan rasa kecewa selepas gangguan bekalan air di tanah rancangan itu gagal diselesaikan sejak tujuh tahun lalu sehingga kini.

Salah seorang penduduk yang juga peneroka, Rosli Jaini, 41, berkata, kegagalan menangani isu itu menjejaskan kualiti kehidupan mereka terutama penduduk yang sudah lanjut usia.

Katanya, disebabkan itu mereka terpaksa mengeluarkan modal untuk membeli tangki besar selepas tidak sanggup berulang-alik setiap hari untuk mengangkut air.

Selain itu Rosli mendakwa, kadar bil air setiap bulan juga tinggi sedangkan bekalan yang disalurkan kepadanya tidak sempurna, selain kerap berdepan masalah ketiadaan air.

“Air tiada, tapi caj bulanan tinggi, entah apa benda (yang) dicaj (pun) saya tidak tahu, macam bulan ini (kadar bil) RM30, ada juga hingga RM60 sebulan,” kata bapa kepada tujuh anak itu seperti dilapor Sinar Harian.

Tinjauan akhbar itu juga mendapati penduduk di kawasan tersebut memiliki lebih daripada satu tangki di hadapan rumah bagi membolehkan urusan seharian tidak tergendala.

Sabry Hussein, 66, pula berkata, aduan demi aduan telah dibuat kepada pihak berkenaan, namun masalah tersebut seolah-olah tiada jalan penyelesaian tuntas daripada pihak berkaitan.

Lebih menyedihkan apabila masalah itu menyebabkan ada segelintir anak peneroka tidak dapat pulang ke kampung halaman pada musim perayaan.

“Masalah bekalan ini selalu terputus-putus, masalah ini semua penduduk lalui bukan saya seorang sahaja. Bila musim perayaan bekalan selalu putus.

“Kalau boleh bekalan air ini pulih macam dulu kala, macam kita baru masuk dulu (mula-mula menetap di tanah rancangan) masalah air tidak pernah timbul,” katanya dengan nada kecewa.

Sementara itu, ketua peneroka, Awang Mat Isa, 63, berharap pihak berkaitan dapat menyelesaikan masalah air yang membelenggu penduduk di tanah rancangan berkenaan.

BACA JUGA Baru tahu ada had keluarkan KWSP akaun 3, tak boleh keluar semua