Terima kasih, ini kemenangan manis buat Kerajaan Perpaduan

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan kemenangan diperoleh Pang Sock Tao di DUN Kuala Kubu Baharu sebagai satu kemenangan manis buat Kerajaan Perpaduan.

Beliau dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan buat penduduk KKB yang mempercayai Kerajaan Perpaduan dengan menyerahkan mandat kepada Sock Tao.

Menurut Loke, selain berjaya mengekalkan sokongan di kawasan daerah mengundi yang dimenangi sebelum ini, sokongan masyarakat orang India, orang Asli dan anggota-anggota keselamatan turut meningkat. 

“Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada para pengundi di Kuala Kubu Baharu di atas kepercayaan memberikan mandat kepada calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao untuk berkhidmat sebagai wakil rakyat mereka.

“Dengan dokongan pelbagai kaum dan masyarakat, Kerajaan Perpaduan mencapai kemenangan manis di PRK KKB dengan majoriti yang menyakinkan,” ujarnya malam tadi.

Pada masa sama beliau juga merakamkan penghargaan kepada parti-parti komponen kerajaan, ahli-ahli Jemaah Menteri, jentera-jentera pilihanraya PH, BN, GPS, GRS yang menunjukkan kesepakatan dalam memenangkan calon Kerajaan Perpaduan.

Semalam Sock Tao memenangi Pilihan Raya DUN KKB dengan majoriti 3,869 undi.

Beliau mengaut 14,000 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang mendapat 10,131 undi.

Sementara itu, Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas) masing-masing hanya mendapat 152 dan 188 undi sekaligus kedua-duanya hilang wang deposit.

Kemenangan PH malam tadi sekaligus menafikan angan-angan PN yang meletakkan objektif menawan 4-0 dalam kawasan Parlimen Hulu Selangor ini.

BACA JUGA PM ucap tahniah PH kekal di KKB