Selepas ini individu dapat darjah kebesaran tanpa perkenan Agong tidak sah diguna

Darjah kebesaran, pingat atau bintang kehormatan yang diterima seseorang warganegara dari negara luar tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong, adalah tidak sah dan tidak diiktiraf untuk digunakan dalam negara.

Perkembangan itu hadir susulan banyak kes penyalahgunaan gelaran yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Presiden Majlis Datuk Malaysia Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, kesemua negeri diharap dapat menerima pakai Akta 787 bagi membendung penyalahgunaan gelaran dan mereka yang mengguna pakai anugerah asing tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Hanya Yang di-Pertuan Agong, Sultan dan Yang Dipertua Negeri yang boleh memberi anugerah yang sah kepada seseorang individu,” katanya seperti dilapor Bernama.

Beliau berkata ketika ini, penguatkuasaan akta itu yang diwartakan sejak 2018, masih belum dibuat secara menyeluruh, memandangkan masih ada negeri yang belum menerima pakai atau mewujudkan enakmen serupa di negeri masing-masing.

“Mereka yang melakukan kesalahan di bawah akta itu, boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM500,000 dan penjara maksimum 20 tahun, mengikut tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan,” katanya.

BACA JUGA Penduduk bengang 7 tahun masalah air tak selesai tapi bil setiap bulan tinggi