5 Adun di Perlis didakwa bakal ditahan SPRM dalam masa terdekat?
Seorang pemimpin politik kanan di Perlis mendakwa lima Adun di negeri itu bakal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat.
Ia susulan penahanan anak kepada Menteri Besar Perlis yang ditahan agensi itu hujung April lalu atas dakwaan membuat tuntutan palsu terhadap kerja yang tidak dilaksanakan berjumlah RM600,000.
Ketika dihubungi Harapan Daily, ahli politik itu mendakwa identiti lima Adun telah disebut sendiri oleh anak Menteri Besar Perlis, Syafeeq ketika siasatan oleh SPRM.
Ahli politik dari parti Kerajaan Perpaduan itu memberitahu dia peroleh maklumat tersebut dari sumber terdekat yang boleh dipercayai.
Namun bila ditanya adakah sumber itu dari pegawai SPRM, dia menafikan.
Lima wakil rakyat itu dipercayai pemimpin dari Pas dan Bersatu.
Beberapa pegawai SPRM turut dikatakan sudah berada di negeri itu bagi melakukan siasatan.
Kata ahli politik berkenaan, isu tersebut memang sudah menjadi kecoh di Perlis.
“SPRM ramai sekarang ni dekat Perlis. Pegawai berkeliaran di sini sebab macam-macam sumber mereka dapat.
“Inilah yang sedang menjadi bualan ramai di sini,” katanya kepada Harapan Daily.
Dakwanya, ketika ini sedang berlaku pertukaran pegawai kanan kerajaan dengan drastik selepas beberapa pegawai turut ditahan dalam kes pemalsuan dokumen.
“Kebetulan pun, Perlis sekarang ini pertukaran pegawai kanan kerajaan sedang berlaku dengan drastik. Setiausaha kerajaan negeri pun akan ditukar,” menurutnya
Untuk rekod, Siasatan SPRM ke atas anak MB Perlis turut membabitkan pemalsuan penyediaan minuman untuk kegunaan Raja Perlis yang dirawat di Hospital Tuanku Fauziah.
Berdasarkan dokumen arahan pembayaran bertarikh 19 Februari tahun ini, ia mendakwa telah membekalkan air kepada Raja Perlis dengan keseluruhan kos berjumlah RM19,505.10.
Namun sebenarnya tiada sebarang air minuman yang dibekalkan kepada Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail seperti mana butiran dokumen berkenaan.
Mohd Shukri Ramli turut disiasat SPRM susulan dakwaan salah guna kuasa memberi projek kepada anaknya yang memonopoli projek bekalan, perkhidmatan dan kerja (selenggaraan) menggunakan 15 syarikat.
Sementara itu bekas ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad seolah memberi gambaran bahawa isu panas di Perlis akan terungkai dalam tempoh sebulan ini.
“Macam-macam orang cakap pasal politik Perlis kebelakangan ini. Tiba-tiba hangat sehangat El-Nino.
“Hangpa jangan tanya saya apa-apa. Sebab jawapan standard saya ialah apa-apa nak jadi dalam politik Perlis ini kita akan lebih jelas dalam tempoh sebulan ini,” katanya.
Pecahan wakil rakyat di Perlis terdiri daripada 9 Pas, 4 Bersatu dan 1 PKR.
BACA JUGA Negeri kecil tapi sangat mandiri, ini apa yang dimaksudkan MB Negeri Sembilan
Â