Negeri kecil tapi sangat mandiri, ini apa yang dimaksudkan MB Negeri Sembilan

”Negeri Sembilan mempunyai pelbagai berita yang boleh diketengahkan untuk dikongsi di persada nasional,” demikian kata Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, negeri tersebut telah mula menjadi tumpuan pelabur dengan pembukaan pelbagai kawasan perindustrian baharu yang telah melonjakkan hasil pendapatan negeri.

”Negeri yang kecil, tapi sangat mandiri dengan hasil pendapatan negeri yang telah memberikan manfaat kepada rakyat bermula daripada bayi sehingga warga emas.

”Dalam tempoh lima tahun yang penuh mencabar, dengan pandemik Covid-19 dan dengan ketidakstabilan Kerajaan Persekutuan ketika itu, kerajaan negeri telah berjaya melonjakkan hasil kutipan iaitu pada asalnya sekitar RM400 juta, tetapi telah mencecah RM500 juta pada tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apreasiasi Media bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.

Menurut Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, terdapat satu lagi faktor yang menyumbang kepada sesuatu yang positif terhadap kerajaan pimpinannya.

”Tadbir urus dan tata kelola yang baik sepanjang pentadbiran ini, antara faktor utama kerajaan negeri berada pada landasan yang baik.

”Dengan pelbagai inisiatif rakyat yang diperkenalkan sejak 2018, negeri ini juga telah mula mengorak langkah dengan menjadikan pencapaian ekonomi negeri sebagai indikator penting dalam mengurus Negeri Sembilan,” ujar beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri.

Dalam majlis sama, Aminuddin berkata, media memainkan penting dalam pembangunan minda rakyat yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu menyifatkan kerjasama antara media dengan kerajaan negeri adalah sesuatu yang amat penting.

”Ia bagi memastikan segala usaha pihak kerajaan dapat disampaikan secara terus kepada rakyat melalui pelbagai medium yang ada pada hari ini.

“Saya membuka ruang seluas-luasnya untuk pihak media bagi menyampaikan berita berkenaan negeri ini di setiap platform media anda,” katanya lagi.

BACA JUGA Aminuddin sebut tiga medium berpengaruh ini, ada kaitan zaman sekarang