Aminuddin sebut tiga medium berpengaruh ini, ada kaitan zaman sekarang

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan media merupakan entiti yang amat penting dalam memainkan peranannya yang sangat bermakna kepada sejarah pembangunan negara.

Katanya menerusi medium audio, visual dan tulisan, semua pengantara itu menjadi bahan yang sangat berpengaruh, lebih-lebih lagi di zaman serba moden hari ini.

”Kita dapat lihat bagaimana sejarah kemerdekaan negara dan dunia berlaku yang dicetuskan melalui peranan media.

”Contohnya, kemerdekaan Indonesia daripada penjajah Belanda dan Jepun adalah hasil kesedaran rakyat yang dicetuskan melalui tulisan pejuang-pejuang kemerdekaan negara seperti Profesor Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah).

”Begitu juga dengan kemerdekaan negara kita (Tanah Melayu) yang terhasil daripada cetusan tulisan-tulisan wartawan yang hebat melawan penjajah dengan mata pena dalam akhbar tempatan seperti Utusan Melayu, Fajar Sarawak, Pengasuh al-Ikhwan dan Warta Malaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apreasiasi Media bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban, malam tadi.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri berkata, selepas negara mencapai kemerdekaan, beliau dapat melihat sesuatu tentang peranan pihak media.

”Pasca kemerdekaan Malaysia, kita dapat lihat bahawa media massa telah menjadi sumber rujukan utama kepada rakyat bagi sesebuah negara untuk mendapatkan pelbagai maklumat yang boleh mencetuskan kesedaran dan menambah ilmu pengetahuan,” ujar beliau lagi.

BACA JUGA Kerajaan Madani terus lakar pencapaian cemerlang, ekonomi Malaysia dijangka atasi anggaran awal