Kerajaan Madani terus lakar pencapaian cemerlang, ekonomi Malaysia dijangka atasi anggaran awal

Penganalisis menjangkakan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2024 yang akan diumumkan pada 17 Mei ini mengatasi anggaran awal 3.9 peratus yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru-baru ini.

Rata-rata penganalisis meramalkan kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia berkembang lebih 4.0 peratus pada suku terbabit berbanding pertumbuhan sebanyak 3.0 peratus pada suku keempat 2023.

Jangkaan pertumbuhan yang lebih baik itu dibuat berdasarkan petunjuk output dan aktiviti sektor ekonomi utama yang positif setakat ini.

Pada suku pertama 2024, Indeks Pengeluaran Industri (IPI) dilihat berkembang pantas 3.3 peratus berbanding 0.8 peratus pada suku keempat 2023 berikutan kemajuan dalam pembuatan, perlombongan dan elektrik.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan KDNK suku pertama tahun ini pada paras 4.0 peratus disokong perbelanjaan swasta.

Beliau berkata, pasaran buruh yang kekal stabil dengan kadar pengangguran yang rendah 3.3 peratus bermakna ramai rakyat Malaysia yang mempunyai pekerjaan dan menerima pendapatan.

“Data seperti perdagangan runcit terus meningkat sebanyak 7.1 peratus kepada RM62.8 bilion pada Mac berbanding pertumbuhan 5.8 peratus pada bulan yang sebelumnya.

“Selain itu, sektor luaran juga dijangka membantu dengan sektor pembuatan telahpun mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 2.1 peratus pada suku pertama setelah berada di paras negatif bagi suku ke empat dan ketiga pada 2023 berdasarkan pecahan data IPI,” katanya, lapor BH.

Dalam masa sama, Mohd Afzanizam berkata, sektor lain seperti pembinaan, pertanian dan perlombongan juga mencatatkan bacaan yang baik pada suku pertama.

Menurutnya, jumlah kerja yang disiapkan bagi sektor pembinaan meningkat sebanyak 14.2 peratus pada suku pertama berbanding 6.8 peratus pada suku ke empat 2023.

Katanya lagi, pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) meningkat 3.4 peratus pada suku pertama, manakala pertumbuhan sektor perlombongan meningkat 5.9 peratus berbanding 3.7 peratus sebelum ini.

BACA JUGA Apa kata Anwar selepas bertemu pemimpin Hamas di Qatar?

Â