Anwar beri jawapan terus terang mengenai kasino kedua, ‘Malaysia tidak perlukan!..’

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia tidak memerlukan idea menubuhkan kasino kedua untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Bercakap pada Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 hari ini, beliau berkata Malaysia kini menumpukan sektor transformasi digital, peralihan tenaga serta kecerdasan buatan (AI).

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, semua sektor itu, antara lain, memadai untuk mendorong pertumbuhan masa depan.

Beliau berkata justeru, di bawah pentadbirannya, tiada keperluan untuk (lesen) kasino kedua di Malaysia.

“Sama sekali tidak! Malaysia tidak perlu terlibat dalam perniagaan kasino (kedua). Kami menumpukan transformasi digital, peralihan tenaga (dan) AI, dan kami percaya ini adalah (antara industri yang) mencukupi untuk memacu negara ke hadapan,” katanya ketika menjawab soalan moderator Haslinda Amin dalam sesi pleno di Doha.

Anwar ditanya sama ada Malaysia mempertimbangkan untuk membenarkan (lesen) kasino kedua di bawah Kerajaan Madani. 

Beliau bagaimanapun menegaskan tidak akan ada kasino di bawah pentadbirannya.

Susulan laporan Bloomberg mengenai kasino, Anwar berkata tiada seorang pun wartawan agensi itu ditahan, mahupun operasi media terbabit disekat.

Katanya, beliau hanya mahu fokus ke hadapan.

BACA JUGA Selepas ini 3R tak boleh main dah, TPM dedah intipati MoU untuk PN