Selepas ini 3R tak boleh main dah, TPM dedah intipati MoU untuk PN

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini mendedahkan beberapa intipati dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang perlu ditandatangani pembangkang, sebelum kerajaan menyalurkan peruntukan kepada blok itu.

Walaupun tidak banyak yang dikongsikan, namun syarat paling yang dinantikan semua pihak adalah larangan menggunakan isu 3R iaitu agama, kaum dan raja.

Kata Fadillah, perincian selebihnya sedang dimuktamadkan untuk diserahkan kepada majlis tertinggi semua parti politik dalam kerajaan serta pembangkang untuk diluluskan.

“Kita masih memperincikan (draf) tetapi gambaran (MoU) sudah saya berikan apa kandungannya iaitu pertama, untuk fokus supaya semua ahli Parlimen ini melihat bagaimana untuk membangunkan dan memulihkan ekonomi negara.

“(Kedua) untuk memastikan kestabilan supaya kita dapat menarik seramai mungkin pelancong dan mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan perpecahan, 3R (raja, bangsa, agama) dan sebagainya,” katanya.

Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini pada dasarnya bersetuju mengagihkan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang tetapi mahu MoU di antara kedua-dua pihak dirangka terlebih dahulu.

Bagaimanapun Perikatan Nasional memaklumkan akan membuat keputusan selepas meneliti terlebih dahulu syarat dalam draf MoU yang sedang disiapkan kerajaan.

BACA JUGA 5 Adun di Perlis didakwa bakal ditahan SPRM dalam masa terdekat?