Apa kata Anwar selepas bertemu pemimpin Hamas di Qatar?

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah.

Perdana Menteri berkata, negara juga akan terus menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan di Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam), dan masyarakat antarabangsa,” katanya hari ini.

Menerusi hantaran sama di Facebook, Anwar berkata, Malaysia turut mendesak Israel menghentikan kezaliman ke atas rakyat Palestin.

Tegasnya, Malaysia juga menuntut Israel membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan bersama delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh dan bekas Pengerusi pergerakan itu, Khaled Mashal di Doha, Qatar.

Dalam masa sama, Anwar turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis.

Sejak 7 Oktober lalu, Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan sebanyak 35,091 kes kematian direkodkan.

Pada hari ke-220 juga setakat semalam, sebanyak 78,827 dilaporkan cedera di Semenanjung Gaza sejak pembunuhan beramai-ramai bermula.

BACA JUGA ‘Tiada seorang pun dari parti gabungan minta perlahan sedikit lawan rasuah’