Lagi hasil prestasi kerja baik, lebih 23 tan daging babi dirampas

Prestasi kerja agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di bawah kerajaan Madani semakin baik apabila satu demi satu aktiviti penyeludupan dapat dibanteras.

Terbaharu, JKDM Perak berjaya mematahkan cubaan menyeludup lebih 23 tan daging babi sejuk beku import bernilai RM693,000.

JKDM Perak merampas sebuah kontena dari Pelabuhan Klang berisi muatan yang diisytiharkan sebagai sayur sejuk beku, pada 7 Mei lalu.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, cubaan menyeludup daging babi itu dipatahkan oleh Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Ipoh.

Jelasnya, kontena itu pada asalnya diikrarkan menerusi Borang Kastam 1 sebagai pelbagai jenis sayur sejuk beku.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan yang dibuat kira-kira 12 tengahari itu menemukan 9,634 bungkusan daging babi seberat 23,121 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM693,648.

Bagi mengaburi pihak berkuasa, katanya, kotak berisi sayuran sejuk beku itu diletakkan di bahagian pintu dan dipercayai kontena tersebut di bawa masuk dari Vietnam bagi diedarkan dan dijual di pasaran tempatan.

“Semasa pemeriksaan dibuat, didapati bahawa kesemua kotak berisi daging anak khinzir (babi) sejuk beku itu tidak memiliki pelekat yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengimpirt masuk daging itu ke Malaysia.

“Pemgimportan komoditi sejuk beku ini tertakluk pada Butiran 1 (1) Jadual Ketiga Bahagian 1 Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 yang memerlukan permit import dengan kelulusan Ketua Pengarah MAQIS dan JPV,” katanya.

Abdul Ghafar berkata demikian menerusi sidang akhbar mengenai kejayaan rampasan itu di Kompleks Penguatkuasaan & Pematuhan JKDM Stesen Ipoh, hari ini.

Susulan itu, katanya, JKDM memanggil seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang bertindak sebagai ejen kepada syarikat pengimport daging babi berkenaan bagi memberi keterangannya untuk membantu siasatan.

BACA JUGA Kerajaan Madani terus lakar pencapaian cemerlang, ekonomi Malaysia dijangka atasi anggaran awal