Rupa-rupanya inilah yang Menteri cadang kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan agar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) lebih proaktif dan sentiasa ke hadapan.

Beliau berkata, saranan berkenaan adalah bertujuan untuk membantu golongan sasar, memastikan sekuriti makanan negara sentiasa berada di tahap yang terbaik.

”Pengembangan Veterinar adalah satu cabang perkhidmatan yang diberikan oleh DVS.

”Ia untuk membantu golongan sasar mengenal pasti penyelesaian dan kesedaran dalam memperbaiki kelemahan serta bersedia melakukan perubahan selari dengan perkembangan semasa dalam sektor penternakan dan asas tani,” kata Mohamad menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Mohamad Sabu

Terdahulu, beliau hadir di Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, Selangor bagi merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Tahun 2024.

Susulan konvensyen itu, beliau merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada DVS dan semua pihak yang terlibat dengan penganjuran majlis tersebut.

”Saya juga ingin menyeru setiap Pegawai Pengembangan DVS untuk terus membawa semangat dan aspirasi PINTAR dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada golongan sasar.

”Buku Panduan Menternak Lembu Pedaging Secara Berintegrasi Bersistematik di Ladang Kelapa Sawit dan Panduan Ekonomi Projek Penternakan Lembu Tenusu turut saya lancarkan sebagai panduan kepada para penternak lembu di negara kita.

”Laksanakanlah amanah dengan penuh dedikasi dan ikhlas. Terima kasih saya ucapkan kepada semua ejen pengembangan yang telah bertungkus-lumus membantu para penternak,” katanya lagi.

BACA JUGA Kerajaan Madani terus lakar pencapaian cemerlang, ekonomi Malaysia dijangka atasi anggaran awal