Setiap 2 minit, berapa kematian direkodkan di Malaysia?

Secara purata satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 533 kematian sehari.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, sebanyak 47,964 kematian direkodkan pada suku tahun pertama 2024.

Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 1.5 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 sebanyak 48,693 kematian.

“Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,434, manakala 20,530 kematian bagi perempuan. Pada tempoh masa yang sama, Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,730 kematian (16.1 peratus).

“Putrajaya pula mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 68 kematian (0.1 peratus),” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia berkaitan Perangkaan Demografi dikeluarkan yang memaparkan data penduduk,kelahiran hidup dan kematian bagi suku tahun pertama 2024.

Mohd. Uzir berkata, kumpulan umur lebih 60 tahun merekodkan bilangan tertinggi iaitu 34,0672 kematian (71 peratus).

Ini diikuti oleh umur 41 hingga 59 tahun (19.8 peratus), umur 15 hingga 40 tahun (tujuh peratus) dan umur bawah 14 tahun (2.2 peratus).

Menurut beliau, Melayu menyumbang sebanyak 51.4 peratus atau 24,667 kematian berbanding 51.9 peratus pada suku tahun pertama 2023, manakala Cina meningkat kepada 27.0 peratus berbanding 26.1 peratus pada suku tahun pertama 2023.

“Sementara itu, jumlah kematian bagi India kekal tidak berubah pada 8.5 peratus, manakala kematian bagi Bumiputera lain menurun kepada 10.4 peratus pada suku tahun pertama 2024,” kata Mohd. Uzir lagi.

BACA JUGA Rupa-rupanya inilah yang Menteri cadang kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar