Suara Faisal semakin jelas, sekarang teringin nasi kandar katanya…

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan beliau menggunakan nota suara atau ‘voice note’ bagi mengetahui perkembangan terkini Faisal Halim yang kini masih berada di hospital.

Beliau memberitahu, percakapan pemain sayap SFC yang mesra dipanggil ‘Mickey’ itu juga, sudah semakin jelas kedengaran.

”Selera makannya juga bertambah kerana bukan sahaja dia setakat boleh makan diet lembut, tetapi sudah boleh mengambil makanan biasa.

”Saya sentiasa menghubunginya dengan nota suara. Saya dengar dia cuba teringin nak makan nasi kandar dan sebagainya,” katanya lapor BH, hari ini.

Menurut Shahril, pemain berusia 26 tahun itu sudah dipindahkan ke wad biasa daripada Unit Rawatan Rapi (ICU), namun masih tidak dibenarkan lawatan mana-mana pihak.

“Pelawat masih tidak dibenarkan kerana keadaan masih agak sensitif tetapi Faisal berada dalam keadaan stabil.

”Doktor akan terus memantau keadaannya dan prosedur seterusnya dijangka berlangsung pada minggu depan,” katanya sambil menambah Faisal akan berada di hospital paling kurang dua minggu lagi.

Dalam kejadian pada 5 Mei lalu, Faisal yang juga pemain skuad kebangsaan, dihampiri dua individu bermotosikal sebelum bertindak menyimbah asid kepadanya di sebuah pusat beli belah di Kota Damansara.

Dia kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya untuk menerima rawatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, asid yang disimbah kepada pemain itu adalah jenis asid sulfurik pekat.

Faisal telah selamat menjalani pembedahan kali ketiga pada Khamis minggu lalu.

BACA JUGA Aminuddin sebut tiga medium berpengaruh ini, ada kaitan zaman sekarang

Â