Tak tahu pun ada skim terbaru, Selangor sampai peruntuk RM7 juta untuk buat ini

Kerajaan Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi membaik pulih pangsapuri seluruh negeri itu menerusi Skim Baik Pulih Negeri Berkebajikan (CERIA).

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya mewujudkan skim berkenaan khas untuk membantu pangsapuri kos rendah dan kos sederhana rendah di negeri tersebut.

”Contohnya lif, parkir kereta, koridor, padang permainan, dan pelbagai lagi termasuk dalam skop bantuan.

”Kami telah memperuntukkan RM7 juta agar permasalahan pangsapuri Selangor dapat diselesaikan sebanyak yang mungkin,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, kerajaan negeri pimpinannya percaya bahawa kualiti kediamaman menyumbang kepada kesejahteraan sosial.

Ujar beliau lagi, atas sifat kasih sayang dan rahmah, skim itu dicetus agar tiada rakyat Selangor terpinggir daripada inisiatif kebajikan hidup.

Kepada sesiapa yang berminat, mereka boleh melayari laman sesawang www.selangorpenyayang.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Pada 24 Februari lalu, Amirudin mengumumkan dana RM1 juta bagi membaik pulih lapan blok pangsapuri kos rendah sekitar Pandan Indah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor itu berkata, inisiatif tersebut selari dengan matlamat mewujudkan kediaman bertingkat yang selesa, selain meningkatkan martabat setiap rakyat tanpa ada yang terpinggir.

BACA JUGA Setiap 2 minit, berapa kematian direkodkan di Malaysia?