Fahmi tuntut penjelasan Meta turunkan berita pertemuan PM, pemimpin Hamas

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memohon penjelasan Meta Platforms Inc (Meta) yang menurunkan laporan berita pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin Hamas di platform media sosial mereka.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menyifatkan tindakan syarikat terbabit jelas melanggar hak kebebasan media di negara ini.

Susulan itu,beliau katanya akan menghantar surat kepada Meta bagi menuntut penjelasan berhubung perkara itu.

“Dalam pertemuan Perdana Menteri bersama pimpinan sayap politik Hamas baru-baru ini, terdapat tiga (organisasi) media maklumkan kepada pejabat saya bahawa posting mereka, khususnya dalam Meta diturunkan.

“Saya kecam tindakan Meta menurunkan artikel atau posting daripada media, apatah lagi kerana ini adalah laporan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Qatar dan pertemuan dengan sayap politik sebuah organisasi, bukan sayap militan atau ketenteraan,” katanya.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, terdapat syarikat media tempatan memaklumkan, hantaran dalam media sosial mereka diturunkan atas alasan kononnya berkongsi atau menghantar simbol, pujian atau sokongan kepada individu dan organisasi yang ditakrifkan Meta sebagai berbahaya.

Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah menghantar surat kepada Meta bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

“Sebelum ini, sewaktu kita anjurkan acara di Stadium Axiata Arena (Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI), pernah ada hantaran berkait ucapan Perdana Menteri pada waktu itu dalam beberapa platform media sosial seperti Instagram diturunkan.

“Bagaimanapun selepas kita menghantar protes (kepada Meta), dikembalikan (hantaran), jadi saya akan susuli,” katanya.

Dalam masa sama, Fahmi memaklumkan bahawa beliau akan turut membangkitkan isu terbabit pada pertemuan bersama semua penyedia platform media sosial bulan depan.

Semalam, Perdana Menteri dalam lawatan rasmi ke Qatar turut mengambil kesempatan bertemu Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan bekas ketua pergerakan itu, Khaled Masyal.

Mereka antara lain membincangkan perang genosid di Asia Barat terutamanya membabitkan Hamas dan Israel di Palestin dalam pertemuan tertutup lebih sejam di sebuah hotel di Doha.

BACA JUGA Tuan Ibrahim langgar pandangan Presiden Pas sendiri

Â