Tuan Ibrahim langgar pandangan Presiden Pas sendiri

Susulan pelantikan lima ADUN baharu di Pahang, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan tiada keperluan untuk menambah lagi wakil rakyat di negeri itu.

Kata beliau, lantikan tersebut bukan satu keperluan sekiranya ia dibuat hanya untuk menyokong kerajaan.

”Lebih baik dana itu digunakan untuk pembangunan negeri dan perkara yang penting, itu yang kita bahaskan,” katanya menurut satu video yang dimuat naik sebuah portal berita.

Bagaimanapun, kenyataan Tuan Ibrahim itu dilihat bercanggah dengan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sebelum ini pernah mempertahankan pelantikan ADUN secara lantikan.

Pada 2020 ketika Dr Aliakbar Gulasan dari Pas dilantik menjadi ADUN lantikan di Sabah, Abdul Hadi menganggap ia bakal membawa perubahan baharu dalam usaha mengeratkan perpaduan antara parti itu dan rakyat.

Begitupun ketika Pahang pula mengumumkan ADUN lantikan, Pas sebaliknya menganggap ia bukan satu keperluan tetapi lebih kepada motif politik.

Sikap ‘parti Islam’ itu yang sering bertukar-tukar dalil mengikut kesesuaian mereka, mengundang lebih banyak cakap-cakap di belakang.

BACA JUGA Anwar arah 100 pokok baharu ditanam bagi setiap pohon yang ditebang