‘Gheja tu gheja jugak… kesihatan kena jaga YB’

Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ke luar negara dalam beberapa siri lawatannya untuk menarik pelabur global dan mengintai peluang kerjasama baharu, nampaknya menjadi perhatian warga maya.

Terbaharu, menerusi satu perkongsian di Facebook beliau, Perdana Menteri Ke-10 itu memaklumkan akan terus ke Republik Kyrgyz selepas tugasan di Qatar, selesai.

”Saya terus ke Republik Kyrgyz untuk lawatan rasmi dua hari seraya diapit delegasi kerajaan Malaysia termasuk Jemaah Menteri dalam usaha mengukuhkan hubungan selain mengintai peluang kerjasama baharu antara kedua negara.

”Sayugia, Republik Kyrgyz ini adalah negara pertama dikunjungi dalam kerangka lawatan ke Asia Tengah yang turut meliputi Kazakhstan dan Uzbekistan.

”Beberapa program rasmi dan tinjauan mesra telah diatur sepanjang lawatan ini sebelum saya dan delegasi berlepas ke destinasi berikutnya iaitu Kazakhstan,” ujar beliau.

Susulan perkongsian Anwar di laman sosialnya itu, warga maya menyifatkan pemimpin berusia 76 tahun itu sebagai seorang yang ‘aktif’.

”Tengok cara kerja PMX ni.. Nak jadi malas pun rasa malu.. umur 70 lebih.. Kederat dia Masya-Allah,” komen Luqman Rosli.

”Tak gheti penat ka PMX kita ni… kami dok ikut YB dlm FB ni pun penat akai dok tengok YB ni gheja tak berenti… rehat sat kot YB… gheja tu gheja jugak… kesihatan kena jaga YB…,” kata Shahrul Bariah Zulkifli pula.

Atas kesungguhan ditunjukkan Anwar, seorang lagi warga maya yang menggunakan nama Alan Tan membayangkan Malaysia akan menjadi Harimau Asia satu hari nanti.

”Malaysia bakal digelar semula Harimau Asia di atas kerajinan PMX,” tulis lelaki itu.

Abdul Manaf Shariff pula menzahirkan rasa kagum dengan tenaga dimiliki Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dan bertanyakan tentang ‘ubat’ apa yang digunakan untuk kekal bertenaga.

”PMX boleh share dak ‘ubat’ apa yg DSAI pakai sampai tak tau penat… tenaga mengalahkan orang muda… share la sikit,” komen pemuda itu.

Untuk rekod, lawatan ringkas Anwar ke Qatar telah berjaya menjana potensi eksport barangan dan perkhidmatan bernilai kira-kira RM700 juta.

Perkara tersebut dimaklumkan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut serta dalam lawatan selama tiga hari itu.

Hari ini Anwar dan delegasi memulakan lawatan rasmi ke Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 15 hingga 19 Mei ini.

Mengiringi beliau dalam lawatan ke negara-negara Asia Tengah itu adalah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hassan; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

BACA JUGA Anwar arah 100 pokok baharu ditanam bagi setiap pohon yang ditebang