KADA dapat pengurus besar baharu

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Sementara Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).

Pengerusi KADA, Muhammad Husain memaklumkan lantikan itu bermakna Azah Hanim akan melaksanakan tanggungjawab sebagai pengurus besar.

“Ia seperti yang termaktub di bawah Seksyen 13 (1), Akta Kada 1972 (Akta 69) yang menyatakan bahawa Timbalan Pengerusi ialah Pengurus Besar KADA dan pelantikan ini berkuat kuasa pada 13 Mei.

”Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Datuk Azah Hanim atas pelantikan ini. Saya dan seluruh warga KADA mengalu-alukan kedatangan Datuk ke KADA,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu atas sokongan penuh yang diberikan kepadanya untuk terus menjalankan reformasi dan penambahbaikan ke atas mutu perkhidmatan KADA kepada petani di Kelantan.

“Saya berharap dengan pelantikan ini, KADA akan terus maju ke hadapan dan menjadi agensi utama yang membela dan memperjuangkan nasib petani, selaras dengan matlamat kerajaan terkini yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujar beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan.

BACA JUGA Ditidurkan sejak semalam, ini keadaan terkini ADUN Mata Ayer