Rafizi perjelas mekanisme urus kos sara hidup, redakan inflasi

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang merancang mekanisme untuk menguruskan kos sara hidup dan meredakan inflasi negara.

Menurutnya, perbincangan berkenaan gaji, kos sara hidup dan inflasi perlu diuruskan dengan teliti.

“Sebelum ini, sesetengah pihak apabila setiap kali kita berbincang untuk mendesak kenaikan gaji, mereka akan sentiasa menyatakan kelemahan inflasi.

“Bagaimanapun, saya tidak merasakannya sebagai situasi saling eksklusif.

“Anda perlu melihat kedua-dua komponen gaji dan inflasi. Itulah sebabnya mekanisme ini perlu dilaksanakan dengan perancangan yang teliti,” katanya.

Rafizi berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran rancangan realiti televisyen Innovathon musim kedua di Putrajaya hari ini.

Jelasnya, mekanisme tersebut akan memastikan wujudnya alternatif selain mempertimbangkan situasi ekonomi makro secara keseluruhan.

Dalam masa sama, katanya, antara kaedah terbaik untuk menguruskan kos sara hidup adalah memastikan pertumbuhan gaji yang baik dalam sesuatu tempoh masa.

Rafizi bagaimanapun mengakui pelaksanaan mekanisme itu akan berdepan cabaran.

“Terdapat perkaitan antara gaji dan inflasi serta pertumbuhan, dan ini menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan untuk mengimbangi semuanya agar segala-galanya mampan-pertumbuhan upah (perlu) adil dan mampan.

“Untuk menjadikannya mampan, inflasi perlu diuruskan supaya ia kekal sederhana dan tidak memberikan impak kepada pertumbuhan,” katanya lagi.

BACA JUGA Awas buat geng memasak di stesen minyak, dua seksyen sedang menanti