Facebook siarkan semula berita PM jumpa Hamas

Meta telah memulihkan kembali hantaran di Facebook mengenai pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh.

Ia selepas Syarikat induk Facebook itu menurunkan ‘posting’ dari beberapa media dalam negara yang melaporkan pertemuan tersebut.

“Dua hantaran telah diturunkan secara silap dan kini telah dibenarkan kembali,” lapor Reuters memetik kenyataan jurucakap Meta dalam e-mel kepada agensi itu.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengecam tindakan Meta yang menurunkan posting berkenaan pertemuan Perdana Menteri Malaysia dengan delegasi Hamas di Qatar.

Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah menghantar surat kepada Meta untuk meminta penjelasannya tentang apa yang berlaku dan menyusulinya dengan suratnya sendiri.

Hantaran di Facebook yang diturunkan adalah daripada Malaysiakini dan Sinar Harian.

Alasan yang diberikan kepada Malaysiakini ialah hantaran itu bertentangan dengan piawaian masyarakat mengenai “individu dan organisasi berbahaya”.

Meta juga telah beberapa kali menurunkan hantaran daripada akaun media sosial rasmi Anwar mengenai ucapan perdana menteri pada perhimpunan Solidariti dengan Palestin di Kuala Lumpur pada Oktober tahun lepas.

BACA JUGA Kakitangan hospital tinggalkan nota di papan putih, peritnya tak cukup doktor…