Kakitangan hospital tinggalkan nota di papan putih, peritnya tak cukup doktor…

Sejak pagi tular satu keluhan pada papan putih dipercayai ditulis kakitangan perubatan di sebuah hospital di Kedah.

 Menerusi keluhan itu, kakitangan di hospital tersebut memberitahu mereka kekurangan doktor dan memohon maaf kepada pesakit kerana perlu menunggu lama.

Lebih menyedihkan, pesakit kemungkinan perlu menunggu sehingga lima jam kerana doktor yang bertugas tidak cukup tangan untuk mengendali pesakit yang ramai.

“Selamat pagi, minta maaf. Kami menghadapi kekurangan doktor, masa menunggu doktor mungkin sampai lima jam.

“Doktor kami kerja sampai naik pengsan dan sakit masih kerja. Ada (doktor) yang sudah letak jawatan, pergi (hospital) swasta.

“Kami ingin berkhidmat untuk rakyat, tetapi kami juga manusia, boleh penat dan sakit. Harap tuan dan puan faham. Minta maaf,” tulisnya.

Hantaran berkenaan tular sehingga mendapat pehatian banyak pihak yang tertanya apa yang sedang berlaku di hospital berkenaan.

Sementara itu, dalam respon segera hari ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan beliau sudah mengarahkan agar doktor pelatih ditempatkan segera di hospital yang memerlukan.

“Salam semua. Saya amat sedar dan insaf dengan keluhan petugas saban hari dan minggu.

“Namun ditegaskan, saya sudah mengarahkan Datuk Ketua Pengarah Kesihatan (Dr Muhammad Radzi) supaya segera menempatkan kembali pegawai perubatan ke hospital daerah memerlukan.

“Langkah tambah baik jangka sederhana dan panjang juga sedang dilaksanakan,” ciapnya di platform X.

BACA JUGA Bekas pegawai ditahan kes rasuah telaga jejari, ini respon kerajaan Kelantan