‘Sekali bergelar guru, sampai hujung nyawa dipanggil Cikgu’

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua individu yang bergelar pendidik di seluruh negara.

Beliau menyifatkan, sekali seseorang individu itu bergelar guru, sampai hujung nyawa dipanggil Cikgu.

Katanya, berbicara tentang guru umpama berbicara mengenai ibu bapa.

”Sering kali perasaan terharu dan sebak datang menusuk kalbu saat bercakap perihal guru.

”Seorang guru yang baik dan berjasa tidak mungkin dilupakan masyarakatnya.

”Natijahnya, guru-guru dalam masyarakat kita sering kali dijadikan rujukan oleh
penduduk dan dipanggil pula dengan panggilan ‘Cikgu’,” katanya menerusi teks perutusan sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53, hari ini.

Sambutan itu membawa tema ‘Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani’.

Menurut Fadhlina, cabaran dihadapi seorang pendidik pastinya tidak semudah
yang disangka.

Beliau berkata, tugas seorang pendidik adalah berat dan bebanannya besar.

”Itulah amanah yang dipikul di atas jemala para guru. Guru merupakan suatu profesion yang paling dipercayai zaman
berzaman.

”Sejak zaman bahari, hingga era teknologi, guru menjadi tonggak masyarakat dan pelaku pembangunan peradaban bangsa,” ujar beliau lagi.

Dalam perutusan itu katanya, beliau sempat mengadakan kunjungan dan lawatan
ke banyak institusi pendidikan dan sekolah sama ada yang terletak di bandar, pinggir bandar, luar bandar, mahupun pedalaman.

”Kesimpulannya, memang masih banyak perkara yang perlu diperbaik, baik dalam konteks infrastruktur dan kemudahan, mahupun akses dan peluang pendidikan.

”Namun pendidikan kita di Malaysia masih bertahan dan gencar bergerak kerana tonggak utamanya adalah Guru,” katanya lagi.

BACA JUGA Kerajaan Madani terbukti dihormati, Kyrgyz minta Malaysia hantar penasihat