AMANAH seru siasatan menyeluruh kes balai polis diserang
Parti Amanah Negara (AMANAH) mengutuk sekeras-kerasnya sebarang perlakuan yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman negara.
Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, siasatan menyeluruh dan bebas perlu dijalankan supaya tiada mana-mana pertubuhan dibenarkan terkait dengan pemikiran keganasan.
“AMANAH berdukacita atas insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi yang telah mengorbankan dua anggota polis dan seorang lagi disahkan cedera,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan bahawa Islam merupakan agama yang menyeru kepada kedamaian dan melarang sebarang bentuk keganasan dan mengancam keselamatan awam.
Dalam masa sama, AMANAH mengucapkan takziah kepada keluarga anggota polis terbabit dan mendoakan seorang anggota polis yang cedera parah kembali sihat sepenuhnya.
Tragedi serangan ke atas Balai Polis Ulu Tiram jam 2.54 pagi tadi mengorbankan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Koperal Mohd Hasif Roslan cedera parah dan menerima rawatan di Hospital Sultan Ibrahim (HSI), Johor Bahru.
Mohd Hasif kini stabil selepas terkena tembakan di bahu kiri dan pinggul.
Suspek berusia 21 tahun yang dipercayai ahli kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) ditembak mati di lokasi kejadian.
BACA JUGA Gara-gara kes kertas resit hina Islam, lapan individu diambil keterangan